Program Pementoran

Program Permentoran

Program Pementoran Women in Rail Malaysia dibentuk untuk membantu para wanita yang bekerja dalam industri rel Malaysia mendapatkan nasihat dan sokongan daripada profesional industri yang lebih senior untuk kemajuan, perkembangan dan keyakinan diri serta memastikan bahawa mereka memiliki instrumen yang diperlukan untuk melanjutkan karier dan merealisasikan potensi sebenar.

Program Pementoran Women in Rail Malaysia bertujuan untuk menunjukkan bahawa sektor ini sanggup menyokong para wanita dalam industri ini, membantu mereka meluaskan peranan serta melaksanakan pelan-pelan pembangunan kami, lalu mengukuhkan imej rel sebagai sebuah komuniti erat yang komited dengan penyemaian dan pemupukan potensi.

​ Sesiapa sahaja yang bekerja atau berkait dengan sektor rel boleh mendaftar untuk program ini sama ada sebagai mentor, menti, atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun, mereka yang lelaki hanya boleh mendaftar sebagai mentor, bersesuaian dengan tujuan program ini iaitu untuk memberikan sokongan kepada wanita dalam industri rel Malaysia.
Pementoran merupakan sebuah proses berbalas di mana menti dan mentor sama-sama belajar; menti belajar daripada pengalaman mentor manakala mentor belajar untuk melihat dunia dari sudut pandangan menti dan ia biasanya akan menambahkan lagi kemahiran pengurusan dan kesedaran mentor.

​Butiran tentang pendekatan terbaik untuk hubungan pementoran turut dibekalkan di dalam Pek Maklumat Mentor dan Menti yang akan dihantarkan kepada anda sebaik sahaja anda mendaftarkan diri untuk mengambil bahagian dalam Program Pementoran Women in Rail Malaysia

Jadilah Seorang Menti

Anda mestilah bersedia untuk memberikan komitmen untuk hubungan pementoran, menunjukkan dedikasi dan minat serta melapangkan masa anda kepada mentor yang akan bersedia untuk memberikan sehingga 12 sesi satu jam dalam setahun daripada masanya yang amat berharga.

Anda perlulah jelas tentang objektif-objektif anda serta tahap dan bentuk nasihat dan sokongan yang anda mahukan daripada mentor anda. Andalah yang akan menentukan hala tuju proses pementoran ini.

Anda perlu bersedia untuk dicabar, belajar daripada teladan dan kesilapan, mendengar dan didengari. Akan tetapi, pilihan sentiasa terletak di tangan anda sama ada mahu memanfaatkan nasihat yang diberikan oleh mentor atau tidak kerana proses ini adalah tentang memperkasa dan mencipta ruang untuk anda memikirkan respon dan pendekatan yang anda miliki dan yang boleh anda realisasikan sendiri.

Sebagai tukaran, anda akan mendapat sokongan dan galakan, mempelajari selok-belok industri, meningkatkan keyakinan diri, bantuan dalam kemajuan kerjaya serta mencipta atau meluaskan rangkaian anda dalam sektor ini.

Jadilah Seorang Mentor

Sesiapa sahaja, baik lelaki mahupun wanita yang bekerja atau berkait dengan industri rel boleh mendaftarkan diri sebagai mentor dalam Program Pementoran Women in Rail Malaysia.

Anda mestilah bersedia untuk memberikan tidak lebih daripada 12 sesi satu jam dalam setahun kepada menti anda, atau mengikut persetujuan yang dibuat antara anda dan menti anda.

Mentor yang efektif akan menyediakan ruang yang selamat, memberikan nasihat dan panduan yang objektif serta menangani isu supaya dapat membantu menti mencari penyelesaian dan haluan sendiri melalui pendengaran aktif, maklum balas yang membina, serta perkongsian pengalaman daripada menti. Mentor akan memberikan tumpuan kepada menti dan kerjayanya serta sokongan untuk perkembangan individu. Oleh yang demikian, perbincangan anda akan merangkumi perkara-perkara seperti keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan peribadi, keyakinan diri, tanggapan terhadap diri dan bagaimana kehidupan peribadi mempengaruhi kehidupan profesional.

Kelebihan anda sebagai seorang mentor pula ialah pengalaman ini akan membantu anda melihat dunia dari perspektif seorang profesional yang kurang berpengalaman.
* Pendaftaran kini ditutup.
Kami akan membuka semula pendaftaran tahun depan!